KUALA LUMPUR, 11 Mac — Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei
gagal mempertahan gelaran juara perseorangan lelaki Kejohanan All
England selepas kalah 17-21 dan 18-21 kepada Chen Long dari China di
Birmingham Indoor Arena, England, malam tadi.
Pemain
pilihan kedua itu terpaksa bekerja keras selama 62 minit untuk
menundukkan Chong Wei, yang merupakan pemain pilihan utama kejohanan
itu.
Kekalahan ini bermakna Chong Wei gagal mencipta kemenangan hatrik selepas memegang gelaran juara pada edisi 2011 dan 2010.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain pada tahun lepas, Chong
Wei pernah mengalahkan Chen Long pada aksi separuh akhir temasya Sukan
Olimpik London 2012 dan final Kejohanan Terbuka Malaysia Maybank pada
tahun yang sama.
Chen Long pula sebelum ini pernah menundukkan Chong Wei pada final Kejohanan Terbuka Hong Kong 2012.
Sementara itu, pemain handalan Denmark Tine Baun muncul juara
perseorangan wanita selepas mengalahkan Intanon Ratchanok dari Thailand
21-14, 16-21 dan 21-10.
Tine terpaksa bekerja keras untuk menyingkirkan Intanon apabila
permainan berlarutan sehingga “rubber set” dan mengambil masa 53 minit
bagi menundukkan pemain Thailand itu.
Beregu lelaki China Liu Xialong-Qiu Zihan pula mengalahkan beregu
Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 21-11 dan 21-9 dalam masa 39
minit.
China turut meraih gelaran juara menerusi beregu wanita apabila Wang
Xiaoli-Yu Fang dengan mudah menundukkan rakan senegara Cheng Shu-Yunlei
21-8 dan 21-10 dalam pertarungan 27 minit. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan