 |
kiram family |
Keluarga Kiram percaya kematian “tentera”nya cuma 10
dan bukan 52 seperti didakwa oleh pihak berkuasa Malaysia, kata
jurucakap keluarganya Abraham Idjirani, dan mengatakan ia adalah
propaganda untuk menunjukkan kemenangan.
Idjirani berkata, keluarganya mahu Putrajaya membenarkan wartawan
luar, terutamanya dari Filipina, untuk memasuki zon konflik di Lahad
Datu, bagi mengesahkan jumlah kematian.
“Kamu mesti benarkan media tempatan dan luar negara ke zon konflik
untuk mengesahkan jumlah kematian. Jika tidak, ia masih boleh
diperdebatkan,” katanya yang dipetik dari akhbar
The Philippine Star semalam.
Idjirani, yang bercakap bagi pihak Sultan Jamalul Kiram III, yang
mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu, mengesahkan hanya 10 dari “tentera
Di Raja” Sulu terbunuh dalam serangan dari pihak Malaysia sejak Jumaat
dua minggu lalu.
Dalam siaran ABS-CBN semalam, jurucakap Jabatan Luar Negara Filipina
(DFA) Raul Hernandez berkata kerajaan masih cuba mengesahkan jumlah
kematian warga Filipina di Sabah, dan mereka hanya bergantung dari
maklumat yang diberikan oleh Putrajaya.
Agbimuddin yang mendakwa dirinya sebagai putera raja Sultan Sulu,
mengetuai sekumpulan bersenjata berjumlah 200 orang ke Sabah, dan berada
di negeri timur Malaysia itu sejak 9 Februari.
Penceroboh tersebut berhadapan dengan pasukan keselamatan Malaysia
Jumaat dua minggu lepas, selepas tiga minggu perbincangan gagal, dan
pertempuran dilaporkan menyaksikan ramai penceroboh Sulu mati, sementara
lapan anggota keselamatan Malaysia terkorban.
Malaysia melancarkan serangan secara bersepadu pada pagi Selasa,
termasuk serangan udara yang menyaksikan bom dan artileri berat
menghujani Kampung Tanduo dimana penceroboh itu berlindung.
Pada Khamis, pihak berkuasa Malaysia mengatakan kematian penceroboh
Sulu berjumlah 52, dengan 32 orang terkorban berikutan serangan udara
pada Selasa lalu.
Tetapi Idjirani pada semalam berkata pihak Sulu bertempur sekali
sahaja, pada hari Jumaat lalu, dimana hanya sepuluh sahaja kematian,
dakwanya.
“Kami memanggilnya Pembunuhan Beramai-Ramai 1 Mac,” katanya yang dipetik dari siaran ABS-CBN News.
Memetik dari Agbimuddin, Idjirani berkata 235 tentera Sulu, setakat
ini 10 kematian, 10 ditahan dan empat cedera. Agbimuddin kali terakhir
dihubungi oleh keluarganya di Filipina pada 2.30 petang semalam, menurut
laporan dari
Phillipine Daily Inquirer, dan berkata beliau dan tenteranya masih hidup dan dalam pelarian, tetapi menghadapi kelaparan.
Akhbar itu melaporkan Agbimuddin dan tenteranya berkumpul semula dan
berjaya melepasi serangan bertubi-tubi pasukan keselamatan Malaysia,
yang menuju mereka di kawasan berbukit.
“Mereka terus bergerak, bukan dengan bot atau sebarang pengangkutan,
tetapi dengan berjalan kaki. Mereka menderita akibat kelaparan,” kata
Idjirani lagi.
Sepupu Agbimuddin Jacel Kiram mengatakan serangan dari pasukan
keselamatan Malaysia sebagai “keganasan maksima”, berbanding permintaan
Manila untuk “toleransi maksima” sebelum serangan Selasa lalu.
Bagaimanapun, “puteri diraja” Sulu berkata arahan gencatan senjata
dari Sultan masih berlangsung dan tentera di Sabah dinasihatkan untuk
terus bertahan.
“Arahan kepada mereka adalah sentiasa untuk bertahan, hanya bersedia
untuk sebarang serangan. Cuma bertahan, jangan serang,” katanya lagi.
Malaysia menolak permintaan keluarga Kiram untuk gencatan senjata
pada Khamis, sebaliknya menuntut penceroboh itu meletakkan senjata dan
menyerah tanpa syarat.